ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah kekal stabil meskipun Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada parti itu, Datuk Mohd. Salleh Saidin dan Datuk Halimaton Shaadiah Saad akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa.
Menurut beliau, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap barisan kepimpinan negeri selagi kedua-dua wakil rakyat Bersatu itu terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri.
“Buat masa ini mereka kekal sebagai Exco, tiada perubahan selama mereka menyokong kerajaan negeri. Pentadbiran negeri berjalan seperti biasa bersama barisan Exco sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Halimaton Shaadiah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam memegang portfolio Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, manakala Mohd Salleh (ADUN Kubang Rotan) menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.
Bersatu Kedah sebelum ini mempunyai tiga Exco termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang memegang portfolio Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, namun beliau dipecat parti itu bulan lalu tetapi masih kekal menjadi Exco.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, wakil Bersatu yang memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan anggota Majlis Ketua Kampung (MKK) turut dibenarkan meneruskan tanggungjawab masing-masing sehingga sebarang keputusan baharu dibuat.
Untuk rekod, Pas memiliki 21 kerusi DUN di Kedah, Bersatu sebanyak 11 kerusi termasuk dua dipecat daripada parti itu, satu kerusi disumbang Gerakan, sementara pembangkang tiga kerusi.
Dalam pada itu, Halimaton Shaadiah ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau menghargai keputusan Muhammad Sanusi mengekalkan jawatannya sebagai Exco.
“Alhamdulillah setakat ini saya buat kerja macam biasa, Menteri Besar Kedah pun sudah membuat kenyataan beliau berhubung kedudukan Exco Bersatu dalam kerajaan negeri,” katanya.
Ditanya sama ada menerima apa-apa arahan daripada Bersatu berhubung perkembangan semasa, Halimaton Shaadiah menjelaskan beliau belum menerima apa-apa pemberitahuan terkini. – UTUSAN










