RUU Warga Emas kukuhkan perlindungan hak, kebajikan

RUU Warga Emas kukuhkan perlindungan hak, kebajikan

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang dijangka dibentangkan di Parlimen dilihat sebagai langkah tepat dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap hak dan kebajikan golongan warga emas di negara ini.

Ahli Majlis Penasihat Warga Emas, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perundangan tersebut penting bagi menyediakan rangka kerja undang-undang dan dasar yang lebih komprehensif selaras perubahan demografi negara menuju ke arah masyarakat menua.

“Malaysia perlu persiapan secara menyeluruh bagi menghadapi perubahan demografi yang bakal berlaku supaya tidak berdepan krisis sosial dan penjagaan kesihatan yang lebih besar pada masa depan.

“RUU Warga Emas adalah penting kerana ia akan menyediakan rangka kerja perundangan dan dasar yang lebih komprehensif untuk melindungi hak dan kebajikan warga emas. 

“Ramai warga emas berdepan pelbagai cabaran termasuk pengabaian, masalah kewangan, kesunyian, akses penjagaan kesihatan yang terhad, penderaan serta pengasingan sosial,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihaknya menyokong penuh hasrat kerajaan membentangkan RUU tersebut selepas mengadakan perundingan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

“Proses perundingan itu perlu melibatkan golongan warga emas, profesional penjagaan kesihatan, pakar kebajikan sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjaga serta pemimpin komuniti bagi memastikan undang-undang yang digubal benar-benar memenuhi keperluan golongan berkenaan.

“Ada dalam kalangan mereka ditinggalkan tanpa sokongan keluarga yang mencukupi, manakala sebahagian lagi berdepan kesukaran memenuhi keperluan harian akibat peningkatan kos sara hidup dan perlindungan sosial yang masih tidak mencukupi.

“RUU tersebut perlu memberi perhatian  kepada beberapa aspek utama termasuk akses penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, pencegahan penderaan warga emas, sokongan kesihatan mental, penyediaan perumahan mampu milik dan kemudahan awam yang mesra warga emas,” katanya.

Menurut Lam Thye, peluang pekerjaan kepada warga emas yang masih aktif serta perkhidmatan penjagaan jangka panjang juga perlu diberikan perhatian khusus.

“Undang-undang ini harus memperkukuhkan mekanisme perlindungan terhadap penderaan fizikal, emosi dan kewangan yang sering menjadi antara isu membelenggu warga emas.

“Warga emas perlu dilihat sebagai aset berharga negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia, bukannya dianggap sebagai beban kepada masyarakat,” jelasnya.

Tambahnya, kebijaksanaan, pengalaman dan jasa golongan itu sewajarnya dihargai serta dilindungi menerusi dasar dan perundangan yang berkesan.

“Kita berharap RUU ini bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya mampu memberi impak dalam meningkatkan kualiti hidup, maruah, kebebasan dan kesejahteraan warga emas.

“Tahap keprihatinan sesebuah negara terhadap golongan warga emas menjadi ukuran penting kepada sifat penyayang sesebuah masyarakat, justeru melindungi maruah dan kebajikan warga emas perlu kekal sebagai agenda utama negara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN