RM500,000 naik taraf Pasar Pagi Sungai Bayor - Utusan Malaysia

RM500,000 naik taraf Pasar Pagi Sungai Bayor

SAARANI Mohamad (tengah) bersama pengunjung dan penganjur pada Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di Selama, hari ini. – UTUSAN/WAT KAMAKL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Kerajaan negeri  meluluskan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM700,000 bagi melaksanakan dua projek infrastruktur di daerah Selama.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bahu jalan serta sistem perparitan di kawasan Pasar Pagi Sungai Bayor di sini.

Menurutnya, kawasan Pasar Pagi Sungai Bayor menjadi antara tarikan utama pelancongan dan pusat ekonomi rakyat di daerah ini.

“Sebagai komitmen sokongan yang berterusan, saya dengan sukacitanya mengumumkan kelulusan peruntukan Marris sebanyak RM500,000 untuk menyelenggara dan menambah baik bahu jalan serta longkang bagi meningkatkan keselesaan pengunjung dan penjual di Pasar Pagi Sungai Bayor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di sini hari ini.

Menurut Saarani, projek itu bertujuan menambah baik aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung serta peniaga yang hadir ke pasar berkenaan setiap minggu.

Beliau turut mengumumkan kelulusan tambahan RM200,000 bagi kerja-kerja penggantian sebuah jambatan uzur di Kampung Tanjung Lengkong, Mukim Ulu Selama.

Katanya, projek tersebut penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat serta kelancaran perhubungan penduduk kampung yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

“Peruntukan sebanyak RM200,000 ini akan digunakan bagi menggantikan jambatan yang telah rosak demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Pasar Pagi Sungai Bayor sebelum ini mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak 2.32 kilometer.

Pasar itu menjadi produk pelancongan dan ekonomi penting bagi daerah Selama. Pasar itu menghimpunkan ratusan peniaga dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta menerima ribuan pengunjung setiap minggu.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Pembangunan berterusan di Selama sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuhkan sektor pelancongan luar bandar dan mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN