RM50 juta dana PTPK perluas latihan TVET 2.0 - Utusan Malaysia

RM50 juta dana PTPK perluas latihan TVET 2.0

Anwar Ibrahim diiringi Ahmad Zahid Hamidi melawat ruang pameran Hari TVET Negara 2026 di Putrajaya, semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PT­PK) digunakan bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Dengan syarat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majikan dan pihak industri perlu bekerjasama de­ngan kerajaan dalam menjayakan agenda berkenaan.

Katanya, kerjasama sektor industri amat penting bagi memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan khususnya dalam bidang teknologi baharu.

“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0.

“Bagaimanapun, syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan, khususnya melalui Majlis TVET Negara supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, pendedahan industri serta meningkatkan kualiti pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja negara memenuhi kehendak pasaran semasa dan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi Belanjawan 2026, PTPK diperuntukkan sebanyak RM650 juta bagi menyokong agenda pembangunan kemahiran dan modal insan negara.

Perdana Menteri berkata, perubahan landskap teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan teknologi digital lain menuntut sistem pendidikan negara melakukan anjakan lebih pantas bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan.

Beliau berkata, kerajaan mem­beri tumpuan kepada bidang-bidang baharu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan pendidikan serta latihan yang bersifat konvensional.

Katanya, ruang turut dibuka kepada institusi tahfiz dan sektor-sektor yang sebelum ini kurang diberikan perhatian supaya lebih ramai anak muda dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui TVET.

“Jika dahulu ramai beranggapan kejayaan hanya boleh dicapai menerusi kolej dan universiti, keadaan itu sudah berubah.

“TVET kini menawarkan la­luan kerjaya yang lebih luas dan berpotensi tinggi se­iring dengan perkembangan teknologi yang membuka pelbagai bidang pekerjaan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN