SETIU: Hampir setahun tragedi kemalangan maut mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berlalu, nama Anis Soffiya Md. Zaidi, salah seorang mangsa tidak pernah hilang daripada meniti di bibir ahli keluarganya.
Ibunya, Che Nor Aida Suhana Mat, 47, berkata kehilangan Anis Soffiya atau lebih mesra dengan panggilan Angah meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga memandangkan Allahyarham seorang anak yang ceria, rajin dan sangat rapat dengan adik-beradik.
Katanya, untuk melepaskan rindu yang ditanggung, dia dan anak-anak lain hanya mampu menziarahi kubur Allahyarham Anis Soffiya setiap Jumaat.
“Setiap minggu apabila tiba hari Jumaat, hati saya seolah-olah tidak sabar ke ‘rumah baharu’ Angah. Bagi seorang ibu seperti saya, kehilangan anak sangat sakit apabila terpaksa menanggung rindu.
“Dua anak lelaki saya iaitu Annas Anwar, 11 dan Adam Rizqi Othman, 9, hampir setiap petang berbasikal ziarah ke kubur Angah sebelum mereka keluar bermain,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Rahmat di sini.
Menurut Che Nor Aida Suhana, meskipun masa berlalu, kenangan bersama Allahyarham Anis Soffiya masih segar terutama apabila melihat barangan peribadi dan gambar-gambar kenangan yang masih disimpan rapi di rumah mereka.
Bagaimanapun katanya, trauma kehilangan anak dalam tragedi itu masih menghantui dirinya apabila melihat anak sulungnya, Aisyah Wahida, 22, berulang-alik ke kampus pengajiannya di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Cheras, Kuala Lumpur.
Setiap kali menghantar Aisyah Wahida menaiki bas, hati Che Nor Aida tidak pernah tenang memikirkan keselamatan anaknya.
“Serentak itu juga, kenangan tentang Allahyarham Anis Soffiya terbayang di fikiran. Kalau hendak menghantarnya pulang ke kampus dengan kereta, sudah tentulah ia di luar kemampuan saya.
“Sepanjang perjalanan, Aisyah Wahida akan menghantar live location di aplikasi WhatsApp dan saya memantaunya sehingga dia selamat sampai ke destinasi. Saya tidak mahu kehilangan anak lagi. Trauma itu masih ada dan mungkin kekal dalam diri saya sampai bila-bila,” katanya.
Menurut Che Nor Aida Suhana, walaupun kehilangan itu terlalu perit untuk ditelah, dia tetap cuba kuat demi anak-anak lain yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada seorang ibu.
Pada nahas 9 Jun tahun lalu itu, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampus Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu terbalik berhampiran Tasik Banding, selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan Perodua Alza. – UTUSAN










