KUALA LUMPUR: Rakyat kebanyakan akan menjadi kelompok paling terkesan, sekiranya terpengaruh dengan kempen politik yang sengaja memainkan sentimen agama dan perkauman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sentimen agama dan perkauman hanya memecah-belahkan masyarakat serta mengabaikan nasib golongan bawahan yang memerlukan pembelaan.
Perdana Menteri berkata, terdapat pihak yang lebih gemar membangkitkan naratif perkauman berbanding memperjuangkan isu keadilan dan kebajikan rakyat.
“Kita tengok dalam kempen-kempen, bukan mereka bercakap soal keadilan. Mereka kata Cina nak ambil ini, India nak ambil ini, Melayu nak rebut ini, Orang Asli pula macam itu. Mereka bukan bercakap tentang hak rakyat atau nilai kemanusiaan.
“Kita tidak melanggar peraturan Islam tetapi kita kena jaga negara ini. Walaupun majoriti rakyat ialah Melayu Islam dan bumiputera, hak semua kaum mesti dipelihara. Sebab itu saya selalu merayu supaya jangan mendengar kempen-kempen yang melagakan rakyat dengan mengatakan, ini parti Melayu, itu parti Cina dan kita perlu berlawan sesama sendiri.
“Yang ruginya rakyat di bawah, masalah. Sebagai contoh rumah panjang ini siapa nak memperjuangkan? Kalau masing-masing gaduh soal kaum. Sebab itu saya kata naratif wacana dasar perjuangan rakyat kita mesti bawa perubahan. Kembalikan roh dan jiwa yang baik dalam kalangan manusia,” katanya.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini hari ini.
Mengulas penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk memiliki penempatan lebih baik, Anwar mengakui, golongan miskin sering menjadi pihak paling sukar mendapat pembelaan.
“Dalam pertarungan, orang miskin selalunya memang kalah dan hidup mereka susah. Walaupun saya Perdana Menteri, saya tahu perkara seperti ini bukan mudah untuk diselesaikan.
“Apabila menyentuh kepentingan orang kaya, mereka mempunyai kekuatan melobi dan mempertahankan kedudukan mereka. Tetapi apabila hendak membantu golongan miskin yang tinggal di rumah panjang seperti ini, tiada siapa yang bersuara,” katanya.
Anwar berkata, keadilan sebenar bukan hanya untuk kelompok tertentu, sebaliknya mesti dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan status.
“Apa makna keadilan? Keadilan bukan untuk satu kelompok sahaja tetapi keadilan untuk semua. Sebab itu acara hari ini bukan sahaja mencipta sejarah kepada penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, malah menjadi contoh bagaimana negara ini sepatutnya ditadbir dengan tidak rakus dan sentiasa mengambil berat tentang nasib rakyat,” katanya. – UTUSAN










