Rakaman kaset, pita VHS antara bahan sejarah dikumpul Arkib Negara - Utusan Malaysia

Rakaman kaset, pita VHS antara bahan sejarah dikumpul Arkib Negara

AARON Ago Dagang (tengah) melihat gramofon klasik yang dipamerkan semasa pelancaran Persidangan Persatuan Arkib Audiovisual Asia Tenggara-Pasifik Ke-30 di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Arkib Negara Malaysia (Arkib) berjaya mengumpul ribuan rekod sejarah yang tersimpan dalam masyarakat menerusi inisiatif komuniti yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Antara rekod tersebut merangkumi gambar dan dokumen lama selain khazanah dari era 1990-an seperti rakaman kaset dan VHS yang bernilai untuk tatapan generasi masa hadapan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, koleksi itu disumbangkan oleh masyarakat dan individu sendiri susulan program komuniti.

“Aktiviti kampung, sekolah banyak sejarah. Kalau bernilai sejarah, kita akan simpan,” katanya kepada pemberita semasa program Persidangan Persatuan Arkib Audiovisual Asia Tenggara-Pasifik Ke-30 di sini hari ini.

Katanya, usaha arkib komuniti di Malaysia telah menjadi contoh amalan terbaik di rantau ini.

“Banyak rekod bernilai berada di luar simpanan rasmi, seperti dalam album keluarga, koleksi kampung, persatuan tempatan, rumah ibadat, sekolah dan pengumpulan peribadi,” katanya.

Tambahnya, sehingga Mac 2026 sebanyak 309,740 bahan arkib komuniti telah direkodkan dalam simpanan menerusi program pengumpulan koleksi secara berterusan.

Katanya, gambar tentang sambutan di kampung, rakaman audio muzik tradisional, video aktiviti masyarakat atau sejarah lisan yang dikongsikan oleh warga emas juga dapat memberikan maklumat kepada orang ramai tentang warisan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN