PTPTN peruntuk RM60.1 juta WPP kepada 40,099 pelajar

PTPTN peruntuk RM60.1 juta WPP kepada 40,099 pelajar

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM60.1 juta menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 40,099 pelajar di negara ini.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan, tawaran berkenaan diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di universiti awam (UA) dan politeknik bagi kemasukan sesi Jun tahun ini.

Katanya, pemberian WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak ini adalah untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal mereka memasuki universiti awam dan politeknik.

“Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian mereka dalam keadaan yang lebih bersedia, teratur dan selesa. 

“WPP ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang sudah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.

“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 30 April lalu, seramai 999,838 pelajar menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya kekal komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Katanya, pelajar boleh menyemak tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikan bantuan itu di mana-mana kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula hari ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad.

“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 10 Jun hingga 9 Ogos 2026.

“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya,” katanya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Selain itu, pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN