PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menangguhkan kongres nasional parti itu dan pemilihan dalaman yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai depan bagi memberi tumpuan kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agungnya, M. Sivaranjani berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Pusat parti pada 17 Jun lalu selepas mengambil kira pertindihan jadual kongres dengan tempoh kempen pilihan raya.
Menurutnya, tarikh baharu kongres nasional dan pemilihan parti ditetapkan pada 21 hingga 23 Ogos ini iaitu selepas PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos.
“Walaupun PSM hanya bertanding di beberapa kerusi dan menyokong Muda sebagai sebahagian daripada blok progresif, jawatankuasa Pusat berpandangan tempoh kempen pilihan raya akan menjejaskan tumpuan serta tenaga ahli terhadap penganjuran kongres.
“Ini kerana keseluruhan jentera parti perlu digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penangguhan itu juga memberi ruang kepada parti untuk menjalankan penilaian dan analisis terhadap prestasi pilihan raya selain memperhalusi strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tahun depan. – UTUSAN










