KOTA TINGGI: Pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan menjadi isu besar sehingga menjejaskan kerjasama di peringkat Persekutuan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebaliknya ia memberi tanda kematangan demokrasi dan bukan sebagai tanda keruntuhan hubungan antara dua gabungan.
Malah katanya, pengalaman ketika berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan membuktikan kerajaan yang dianggotai pelbagai parti mampu berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat.
“Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah besar kerana semasa saya menjadi Menteri Kesihatan, kita pernah melalui PRN dalam situasi kerajaan terdiri daripada pelbagai parti. Malah, kemungkinan akan ada juga penglibatan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Bagi saya, PRN Johor tidak mempunyai masalah selagi semua pihak menghormati antara satu sama lain dan tidak memburukkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, Adham berkata, beliau akan berusaha memastikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperluaskan ke Kawasan DUN Pasir Raja bagi memastikan penduduk setempat turut menikmati limpahan pembangunan dan pelaburan.
“Ketika ini sempadan JS-SEZ di kawasan Kulai masih belum meliputi kawasan Pasir Raja, sekali gus mengehadkan potensi kawasan tersebut untuk menerima manfaat daripada pembangunan ekonomi yang sedang dirancang,” katanya. – UTUSAN










