`PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu’

`PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu’

LEE CHEAN CHUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini selepas 18 tahun menyertai parti itu.

Bagaimanapun, Chean Chung berkata, beliau kekal sebagai anggota PKR dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti.

“Setelah 18 tahun menyertai Parti Keadilan Rakyat dan lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti, hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

“Namun saya kekal sebagai anggota parti, dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chean Chung berkata, keputusan itu dibuat susulan rasa kecewa terhadap perkembangan semasa dalam PKR, termasuk isu akses sistem MyKhas bagi urusan peruntukan kawasan Parlimen Petaling Jaya yang dibatalkan sejak 29 Mei lalu.

Menurut beliau, pembatalan akses itu menyebabkan pejabatnya tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.

Katanya, beliau hanya menuntut penjelasan munasabah daripada parti berhubung perkara tersebut, namun sehingga kini PKR belum memberikan penjelasan rasmi kepada beliau dan pengundi di kawasan berkenaan.

“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah.

“Sehingga kini, hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan bahawa ini adalah akibat daripada pilihan politik, sedangkan PKR masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi kepada saya dan para pengundi,” katanya.

Chean Chung berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Pejabat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 2008 hingga 2011 sebelum pulang ke Kuantan pada 2012 untuk membina gerak kerja akar umbi.

Beliau kemudian memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, sebelum dilantik ke beberapa jawatan parti termasuk Bendahari Agung dan Pengarah Komunikasi.

Dalam kenyataan sama, Chean Chung berkata, PKR hari ini bukan lagi parti yang dikenalinya dahulu.

“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti.

“Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN