Permintaan minyak global dijangka cecah 113.3 juta tong sehari menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Permintaan minyak global dijangka cecah 113.3 juta tong sehari menjelang 2030

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengunjurkan permintaan minyak global akan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi tempoh jangka sederhana dan panjang.

Faktor utama unjuran tersebut disokong oleh peralihan dasar baru-baru ini serta pertumbuhan ekonomi yang stabil di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan Tinjauan Minyak Dunia 2026, permintaan minyak dunia disasar mencecah 113.3 juta tong sehari (bpd) menjelang 2030 sebelum terus melonjak kepada 124.1 juta tong sehari pada 2050.

Angka itu menyaksikan pertumbuhan permintaan sebanyak 19 bpd sepanjang tempoh unjuran tersebut.

“Pendorong utama kepada lonjakan ini adalah negara-negara bukan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang mana permintaannya meningkat sebanyak 7.4 bpd antara tahun 2025 dan 2030, serta melonjak 26.9 bpd antara tahun 2025 dan 2050.

“Sebaliknya, permintaan bagi negara-negara OECD dijangka meningkat sekitar 0.7 bpd menjelang 2030, namun akan mengalami penurunan jangka panjang yang menguncup hampir 8 bpd antara tahun 2025 dan 2050,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut memperincikan bahawa sumber utama bagi pertumbuhan permintaan minyak jangka panjang adalah diterajui oleh India, negara Asia lain, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.

“Permintaan di rantau-rantau berkenaan disasar meningkat sebanyak 25.2 bpd antara tahun 2025 dan 2050, yang mana India sahaja menyumbang lonjakan sebanyak 8.1 bpd.

“Bagi tempoh yang sama, permintaan minyak di negara Asia lain dijangka meningkat sebanyak 5.3 bpd, manakala Asia Barat meningkat 4.7 bpd dan Afrika menokok 4.3 bpd. Rantau Amerika Latin pula diunjurkan meningkat sebanyak 2.8 bpd sementara China bertambah 1.1 bpd,” katanya.

Daripada perspektif sektor, pemacu utama pertumbuhan permintaan minyak sehingga tahun 2050 bakal diterajui oleh sektor pengangkutan darat (meningkat 5.7 bpd), penerbangan (meningkat 4.2 bpd) dan petrokimia (meningkat 4.6 bpd).

Sektor penjanaan tenaga elektrik menjadi satu-satunya bidang yang dijangka mengalami sedikit penurunan permintaan minyak dalam jangka panjang.

Pertumbuhan dalam sektor pengangkutan darat didorong oleh perkembangan skala besar armada kenderaan global terutamanya di negara-negara membangun, yang dijangka meningkat daripada 1.75 bilion unit pada 2025 kepada sekitar tiga bilion unit pada 2050.

Walaupun kenderaan elektrik (EV) disasar mencatatkan pertumbuhan terpantas, kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) tetap akan mendominasi armada global dengan pegangan sekitar 73 peratus pada tahun 2050.

Sementara itu, permintaan tenaga primer global diunjur meningkat sekitar 23 peratus daripada 312 juta tong setara minyak sehari (boepd) pada tahun 2025 kepada 383 juta boepd pada tahun 2050.

“Menjelang tahun 2050, permintaan bagi semua bahan api primer disasar meningkat kecuali arang baru.

“Permintaan untuk tenaga boleh baharu dijangka merekodkan gabungan pertumbuhan paling kukuh sebanyak 51.3 juta boepd, dipacu oleh penurunan kos penjanaan dan sokongan dasar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN