Penunggang motosikal maut jatuh jejambat lebuh raya

Penunggang motosikal maut jatuh jejambat lebuh raya

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter dalam satu kemalangan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi, dekat sini semalam.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa berusia 31 tahun terjatuh dipercayai selepas dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika berteduh daripada hujan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah SUV dan dua motosikal termasuk milik mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV yang dipandu wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat berkenaan.

“Kemalangan menyebabkan seorang lelaki tempatan tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jejambat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal dan pemboncengnya masing-masing lelaki tempatan berusia 18 tahun cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu kereta berkenaan tidak cedera dan didapati negatif ujian saringan alkohol.

“Pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Mohd Zamzuri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 0320719999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan lanjut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN