BATU PAHAT: Sebuah kerajaan stabil yang mampu membangunkan sebuah negeri seiring dengan kemajuan masa kini menjadi harapan yang diletakkan golongan muda yang pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut pengundi muda, Mohd. Akil Idham Jumain ,19, dari Parit Sulong berkata, adalah menjadi impiannya untuk melihat sebuah kerajaan sempurna, stabil dan membangun dalam semua aspek terutama sekali berkaitan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Katanya, golongan muda amat memerlukan semua perkara tersebut untuk mereka membina kehidupan berkeluarga yang terjamin khususnya dari sudut ekonomi keluarga.
“Jika tiada kekuatan dalam ekonomi bagaimana untuk membina keluarga, atas dasar inilah perlunya sebuah kerajaan yang stabil bagi membolehkan kami memanfaatkan setiap peluang terhidang.
“Kami tidak sesekali berharap dengan satu janji yang tidak pasti kerana kerajaan sedia ada sudah pun membuktikan kemampuan mereka untuk mentadbir negeri Johor penuh gemilang dan jayanya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi pengundi, Chen You Jin, 21, berkata dia amat yakin dengan sebuah kerajaan yang mampu mengurus tadbir negeri melalui pelbagai inisiatif.
Dia berharap pembangunan yang sedang dirancang atau dalam pembinaan sebelum ini dapat dipercepatkan untuk kemudahan rakyat.
“Walaupun pertama kali mengundi, saya sudah meletakkan tekad untuk memberikan sokongan padu kepada calon yang mampu membawa kepada kestabilan kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN











