Pengguna Semenanjung boleh mula beli diesel RM2.15 seliter Sabtu ini, RM2.10 pula bermula 1 Julai

Pengguna Semenanjung boleh mula beli diesel RM2.15 seliter Sabtu ini, RM2.10 pula bermula 1 Julai

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna di Semenanjung bakal mendapat akses awal untuk memulakan transaksi pembelian diesel bersubsidi menerusi inisiatif Budi Madani pada kadar RM2.15 seliter, bermula Sabtu ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan penuh di seluruh negara pula akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai yang menyaksikan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen dan kenderaan diesel layak untuk menikmati harga subsidi pada kadar RM2.10 seliter.

Menurutnya, bagi kenderaan komersial di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) 2.0, kadar yang ditetapkan adalah RM2.15 seliter, manakala bukan warganegara serta pengguna industri akan dikenakan harga pam sepenuhnya.

“Selaras dengan prinsip penyasaran subsidi Kerajaan Madani, golongan bukan warganegara tidak patut menikmati subsidi. Dengan itu, mulai 1 Julai, harga runcit diesel seluruh negara akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi.

“Sebahagian penjimatan daripada langkah tersebut digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk dengan mengurangkan harga bersubsidi diesel kepada RM2.10 seliter untuk rakyat yang menggunakan kenderaan diesel,”katanya menerusi sidang akhbar Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Budi Diesel merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memastikan manfaat subsidi diesel terus dinikmati oleh rakyat secara lebih bersasar, di samping mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.

“Pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini berhasrat menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan. Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel.

“Penurunan harga diesel bersubsidi adalah salah satu cara bagaimana penjimatan ini disalurkan semula kepada rakyat, begitu juga dengan inisiatif seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang ditingkatkan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×