Penganggur mengaku tidak bersalah memandu melulu

Penganggur mengaku tidak bersalah memandu melulu

TERTUDUH, P. Kogilanathan diiringi polis dibawa keluar dari Mahkamah Jasin hari ini selepas dituduh membunuh seorang peniaga dua tahun lalu. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, hampir dua tahun lalu.

Tertuduh, P. Kogilanathan, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama tiga lagi individu yang masih bebas membunuh A. Vinurd di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Rim Baru 1, Taman Rim Baru antara pukul 8.39 malam hingga 11 malam pada 25 Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam di hadapan sebuah premis di Taman Asia Selatan pada pukul 7.30 malam, 4 Mac 2024.

Bagi pertuduhan itu, dia mengaku tidak bersalah dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah yang pada mulanya menetapkan jaminan RM10,000, mengurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin selepas peguam bela, Nur Aida Zainuddin memaklumkan anak guamnya menghidap masalah kesihatan selain menanggung ibu bapanya yang menghidap diabetes dan penyakit jantung.

Bagaimanapun, Mazana memerintahkan tertuduh kekal ditahan kerana pertuduhan membunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri dengan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan forensik serta laporan kertas siasatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN