KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengarahkan seorang pemuda yang didakwa menyebabkan neneknya cedera parah selepas memukul warga emas itu menggunakan tukul besi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli mengeluarkan perintah tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Nor Iman Abdullah, 25, selepas tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap neneknya, Gayah Omar, 78, menggunakan sebatang tukul besi yang merupakan senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun pada pukul 6.30 petang, 19 Jun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan. Seksyen 326A Kanun Keseksaan turut memperuntukkan hukuman yang lebih berat apabila kesalahan menyebabkan kecederaan dilakukan terhadap ahli keluarga, iaitu sehingga dua kali ganda tempoh maksimum hukuman bagi seksyen yang disabitkan.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan pemeriksaan mental tertuduh.
Selepas selesai prosiding pertuduhan, tertuduh dilihat menangis di pekarangan mahkamah sehingga terpaksa ditenteramkan oleh anggota polis yang mengiringinya. – UTUSAN










