KUALA LUMPUR: Enggan menghampakan pengundi, Peserta Talk To My Manager musim ke-2, Husain menyahut cabaran dengan menyertai Big Stage X Rocketfuel yang berlangsung lapan minggu bermula semalam.
Jelas Husain, dengan penglibatan dalam program berkenaan, dia berharap dapat melunaskan impian peminat yang selama ini menyokongnya sedari TTMM2 lagi.
“Alhamdulillah, ramai yang mengundi saya kerana berdasarkan tinjauan, ramai yang mengatakan mereka rindu akan suara saya. Mereka mahukan saya kembali.
“Saya sangka perjuangan sudah berakhir, hakikatnya perjalanan itu bertambah kepada lapan minggu.
“Saya sahut cabaran kerana tidak menghampakan mereka yang mengundi saya. Tanpa pengundi siapalah saya,” katanya.
Dalam konsert Big Stage yang berlangsung malam tadi, Husain diumumkan sebagai peserta ke-12 yang menyertai program tersebut selepas menerima undian tertinggi peminat.
Katanya, penglibatan dalam program berkenaan menghadirkan cabaran baharu apabila pesaing-pesaingnya memiliki kekuatan vokal dan persembahan.
“Cabaran dalam Big Stage ini berlainan kerana ia lebih menuntut peserta menunjukkan kemantapan vokal masing-masing.
“Saya anggap peserta lain seperti keluarga saya sendiri supaya tidak timbul persaingan antara kami dan paling penting jadikan mereka sebagai inspirasi saya perbaiki prestasi,” kongsinya.
Disoal tentang ketiadaan bapanya, Jamilul Hayat pada program kali ini, Husain memaklumkan tetap merujuk dan mendapatkan nasihat daripada penyanyi legenda tersebut.
“Saya tidak keseorang, setiap minggu akan ada yang menemani. Tapi apa pun, saya tetap akan merujuk kepada bapa saya kerana beliau orang lama dalam industri, cuma persembahan dulu dan sekarang berlainan.
“Saya akan ambil pengajaran daripada beliau, perbaharui ideanya dari segi lagu dan mutu persembahan,” ujarnya. – UTUSAN










