Pembantu kedai makan tular ‘maki’ polis didenda RM100

Pembantu kedai makan tular ‘maki’ polis didenda RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai makan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis, Isnin lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syarifuddin Abd Latif, 25, didakwa menggunakan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis berpangkat Koperal berumur 27 tahun dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Dato Senu 3, Sentul di sini, pada pukul 8.24 pagi, 8 Jun lalu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Muhammad Syarifuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan selain perlu menanggung kedua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 atau penjara sehari jika gagal membayarnya.

Kelmarin, media melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat dan merakam video anggota polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan trafik.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, semasa tindakan penguatkuasaan, pemilik kenderaan itu menghampiri anggota polis berkenaan, merakam video menggunakan telefon bimbit, melakukan provokasi dan melontarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati disaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN