Pemaju, MyFundAction perkasa dedahkan STEM kepada komuniti Orang Asli

Pemaju, MyFundAction perkasa dedahkan STEM kepada komuniti Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan (Pemaju) Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menganjurkan program Tech4Tribe 1.0: Pemimpin STEM untuk Impak Komuniti (T4T1.0 SLCI) bagi memperkasa belia komuniti Orang Asli dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program berbentuk khidmat sosial dan pemindahan ilmu itu dilaksanakan dengan kerjasama MyFundAction, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) serta Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala di Gerik, Perak, dengan sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Menurut Pemaju, program dua fasa itu melibatkan pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti dan NGO dalam usaha memberi pendedahan STEM kepada komuniti Orang Asli melalui kaedah pembelajaran secara pengalaman.

“Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah bertindak sebagai fasilitator kepada murid SK RPS Dala dengan bimbingan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan UPM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fasa pertama program diadakan di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dengan pengenalan asas kejuruteraan melalui pameran Fakulti Kejuruteraan UPM serta aktiviti mudah seperti pengaturcaraan, kecerdasan buatan (AI) dan latihan kepimpinan pelajar.

Fasa kedua pula berlangsung di SK RPS Dala, Gerik selama tiga hari dengan penglibatan lebih 100 murid Orang Asli. Antara aktiviti yang dijalankan ialah eksperimen STEM interaktif seperti konsep kinetik, kelikatan dan graviti melalui permainan pembelajaran.

Peserta turut melaksanakan aktiviti kesukarelawanan seperti melukis mural dan membina sistem hidroponik di sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan selesa.

“Ini bertujuan meningkatkan minat murid terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik selain semangat kesukarelawanan melalui aktiviti kesukarelawanan seperti penghasilan mural serta pembinaan sistem tanaman hidroponik kepada sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan lebih lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN