PETALING JAYA: Penyertaan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah memperkukuh penyatuan ummah dan membina kekuatan politik yang lebih berwibawa serta diyakini rakyat.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, penyertaan itu selaras dengan pendirian parti yang mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan parti serta individu.
Katanya, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara.
“Kami menyambut baik keputusan PN menerima Pejuang sebagai salah sebuah parti komponen dalam gabungan tersebut.
“Pejuang percaya dalam keadaan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, keselamatan dan politik, keutamaan mesti diberikan kepada usaha memperkukuh penyatuan ummah serta membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan lebih berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhriz berkata, Pejuang akan terus berpegang teguh kepada prinsip integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik demi memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, langkah tersebut bukan sekadar menyaksikan sebuah parti menyertai gabungan politik, malah menjadi titik permulaan kepada usaha menyatukan kekuatan yang lebih besar bagi mendepani perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan.
“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan umat dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya. – UTUSAN










