PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam mencabar keputusan pendakwaan menghentikan semua prosiding lanjut terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam notis usul yang difailkan kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar membangkitkan dua persoalan undang-undang untuk diputuskan mahkamah berhubung kes rasuah Ahmad Zahid yang melibatkan Yayasan Akalbudi.
Persoalan pertama ialah sama ada keputusan Peguam Negara untuk tidak memulakan pendakwaan atau menghentikan sesuatu pendakwaan di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.
Sekiranya persoalan itu dijawab secara afirmatif, mahkamah juga diminta menentukan prasyarat atau ujian undang-undang yang perlu dipenuhi bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan berkenaan.
Persoalan kedua pula adalah sama ada ujian dua peringkat yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri, Malaysia dan lain-lain’ pada 2021 boleh dianggap sebagai ratio decidendi iaitu prinsip undang-undang yang mengikat serta wajib dipatuhi mahkamah yang lebih rendah.
Mohd. Dusuki turut memohon agar semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung, sementara menunggu keputusan permohonan kebenaran merayu itu.
Ahmad Zahid yang juga responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman tersebut telah memfailkan permohonan berasingan bagi mendapatkan kebenaran merayu pada 25 Mei lalu.
Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayunya mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Badan Peguam untuk mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid, selepas memutuskan bahawa permohonan itu bukan bersifat remeh atau menyusahkan serta membangkitkan isu undang-undang yang boleh dipertikai dan wajar didengar melalui perbicaraan penuh.
Mahkamah turut membenarkan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikai, sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 27 Jun 2024.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman selepas memutuskan bahawa badan itu gagal memenuhi prasyarat yang diperlukan.
Badan Peguam turut memohon deklarasi bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC berhasrat menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu. – UTUSAN










