KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak wajar menunggu sesuatu isu itu tular sebelum bertindak sebaliknya perlu memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu termasuklah penyelenggaraan kemudahan awam di lokasi tumpuan pelancong seperti di Putrajaya yang baru-baru ini menerima kritikan masyarakat berhubung infrastruktur yang uzur.
Menurutnya, pihak Perbadanan Putrajaya telah mengambil tindakan awal dengan melaksanakan beberapa kerja pembaikan terhadap kemudahan yang terlibat.
“Putrajaya merupakan hab pelancongan dan pihak pengurusan telah turun padang serta melaksanakan beberapa pembaikan yang diperlukan.
“Namun, bagi isu penyelenggaraan pada masa hadapan, saya rasa semua PBT perlu memberi perhatian khusus terutama di lokasi yang menerima kehadiran ramai pelancong,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembangunan semula kawasan penjaja di UTC Sentul, di sini, hari ini.
Semalam, tular melaporkan bahawa beberapa lokasi kemudahan awam di sekitar Putrajaya didapati berada dalam keadaan uzur termasuk jubin lantai retak dan tangga rosak yang boleh mengundang risiko kepada orang ramai.
Selain itu, beberapa lif dan eskalator dilaporkan tidak berfungsi sejak berbulan-bulan lalu sehingga menyukarkan pergerakan pengunjung.
Dalam pada itu, Hannah berkata, walaupun terdapat lokasi yang memerlukan peruntukan tambahan untuk kerja-kerja naik taraf, aspek kebersihan dan keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk diabaikan.
“Kebersihan mesti dipastikan sentiasa berada pada tahap yang baik dan begitu juga dengan keselamatan. Dua perkara ini perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Saya juga meminta semua pihak berkaitan supaya lebih kerap turun padang untuk memantau keadaan kemudahan awam,” katanya.
Mengulas mengenai video tular orang awam, beliau berkata, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu isu daripada pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan.
Katanya, video yang tular di media sosial tidak semestinya menggambarkan keseluruhan situasi sebenar kerana terdapat pelbagai pihak yang terlibat dan mempunyai pandangan masing-masing.
“Sekarang ini semua orang boleh menjadi ‘reporter’, tetapi maklumat dan fakta yang diberikan mungkin hanya 10 peratus daripada keseluruhan cerita.
“Justeru, pengguna media sosial perlu bijak menilai dan memahami sesuatu isu daripada pelbagai aspek sebelum menyebarkannya,” katanya.-UTUSAN










