ARAU: Pas Perlis akan terus menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini sehingga Perikatan Nasional (PN) pusat membuat ketetapan susulan terlerainya hubungan politik kedua-dua parti itu.
Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pada masa ini, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan politik yang berlaku.
Dalam masa sama, kata Ahli Parlimen Arau itu, kerajaan negeri diterajui PN akan terus memberi tumpuan kepada agenda kebajikan rakyat tanpa mengira sebarang perubahan landskap politik semasa.
“Sebagaimana yang telah kita maklum, Pas pusat telah membuat beberapa keputusan (kelmarin), antaranya ialah meneroka satu bentuk persefahaman politik demi kerjasama pilihan raya, perpaduan dan penyatuan ummah.
“Pas juga memaklumkan bahawa kerjasama politik dengan Bersatu dihentikan. Namun di Perlis sekarang, kerajaan adalah di bawah PN yang majoriti kerusinya dimiliki Pas dan Pas menyokong Bersatu di Perlis.
“Sehingga PN membuat apa-apa keputusan, pentadbiran Perlis berterusan seperti biasa dan keutamaan kita adalah kebajikan rakyat. Rakyat adalah keutamaan kami,” katanya di sini, hari ini.
Masa depan hubungan Pas dan Bersatu akhirnya terjawab apabila parti Islam itu mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan parti itu juga mahu meneroka kerjasama politik baharu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN membabitkan Pas dan Bersatu menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan kedudukan cukup selesa.
Komposisi dalam DUN Perlis ketika ini menyaksikan enam wakil rakyat dari Pas, lima Bersatu dan satu Pakatan Harapan (PH), manakala tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping dikenakan tindakan pengguguran keahlian dengan kes kekosongan kerusi tersebut masih di peringkat mahkamah.
Sementara itu, Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri berkata, segala usaha membantu rakyat akan diteruskan walaupun berlaku perubahan dalam hubungan politik di peringkat nasional.
“Walau apa pun politik yang berlaku, usaha membantu rakyat dan menjaga kebajikan rakyat akan diteruskan, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










