Pas sendiri pilih putus hubungan dengan Bersatu - Tun Faisal

Pas sendiri pilih putus hubungan dengan Bersatu – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak pernah dipaksa memilih antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebaliknya membuat keputusan sendiri untuk memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa yang menggambarkan Pas seolah-olah terpaksa memilih antara dua kumpulan dalam Bersatu adalah mengelirukan.

Beliau berkata, tidak timbul soal ‘kem Hamzah’ dalam Bersatu kerana Ahli Parlimen Larut itu bukan lagi anggota parti berkenaan.

“Siapa yang memaksa Pas membuat pilihan? Hamzah Zainudin, Zahid Hamidi atau Anwar Ibrahim?

“Tidak ada ‘Bersatu kem Hamzah’. Hamzah bukan lagi ahli Bersatu dan pengikutnya adalah penyokong Reset atau Parti Wawasan Negara yang belum didaftarkan tetapi telah dilancarkan Presiden Pas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tun Faisal berkata, kemelut berkenaan bermula daripada campur tangan Pas dalam urusan dalaman Bersatu, termasuk memberikan sokongan kepada Hamzah.

Katanya, tindakan itu didakwa melanggar batas setiakawan dan semangat permuafakatan dalam PN kerana Pas sepatutnya mengutamakan usaha memperkukuh hubungan sesama parti komponen.

Beliau berkata, Pas juga telah mengadakan rundingan bersama Hamzah dan beberapa pihak di luar PN tanpa membentangkannya dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.

“Langkah Bangkok salah satunya. Muafakat Nasional 2.0 juga perkara yang tidak pernah dibawa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Tindakan ini bukan untuk membetulkan hubungan, tetapi merosakkan lagi keadaan dalam PN,” katanya.

Tun Faisal berkata, keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) juga boleh menjejaskan persiapan dan peluang PN.

Beliau berkata, kegagalan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN, rundingan kerusi, persiapan pilihan raya serta jawatankuasa pakatan pilihan raya menimbulkan persepsi bahawa persediaan gabungan itu sengaja dilengahkan.

Tun Faisal berkata, beliau menolak alasan bahawa Bersatu menghalang agenda penyatuan ummah atau kemasukan parti tertentu ke dalam PN.

Katanya, parti-parti berkenaan masih boleh menjalinkan pakatan pilihan raya dengan PN tanpa perlu menjadi anggota gabungan itu.

“Tidak wajar menggambarkan seolah-olah Pas tiada pilihan. Sebenarnya, Pas yang memilih untuk memutuskan hubungan dan membuat onar ketika tempoh PRN semakin hampir.

“Jangan menipu dan mengatakan tindakan Pas ini demi penyatuan ummah atau kepentingan PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN