Pas mesyuarat malam ini, bincang hala tuju dalam PN 

Pas mesyuarat malam ini, bincang hala tuju dalam PN 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas bakal mengadakan mesyuarat pusat, malam ini bagi membincangkan situasi terkini Perikatan Nasional (PN) serta hala tuju parti itu selepas memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beberapa pemimpin kanan Pas dilihat tiba di Pejabat Agung Pas di sini bagi menghadiri mesyuarat yang dijangka dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Antara yang hadir ialah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada kedudukan Pas dalam PN susulan berakhirnya kerjasama politik dengan Bersatu dan membincangkan hubungan antara parti-parti dalam gabungan berkenaan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pas akan bermesyuarat bagi menetapkan pendirian yang jelas berhubung hala tuju parti selepas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kedudukan wakil Bersatu yang masih memegang jawatan Exco dalam pentadbiran beberapa negeri di bawah pimpinan Pas turut menjadi antara perkara yang akan dibincangkan.

Katanya, hala tuju hubungan kedua-dua parti dalam PN juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan Pas mempunyai pendirian yang jelas.

“Kita kena ada satu pendirian yang jelas berhubung perkara itu,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, Pas mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Bagaimanapun, kedua-dua parti masih kekal sebagai anggota PN sehingga menimbulkan persoalan mengenai bentuk kerjasama mereka dalam gabungan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN