KUALA LUMPUR: Nilai Ringgit disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh walaupun berdepan tekanan faktor global termasuk ketidaktentuan geopolitik Asia Barat dan jangkaan perubahan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, Ringgit memulakan 2026 dengan prestasi kukuh apabila mencatat peningkatan 4.3 peratus berbanding dolar AS selain mengukuh 3.2 peratus dari segi Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER).
Bagaimanapun, katanya, bagi tempoh awal tahun hingga 22 Jun ini, Ringgit mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar AS manakala NEER susut 1.6 peratus.
“Namun begitu, asas ekonomi domestik kekal kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong inflasi sederhana pada paras 1.6 peratus.
“Bagi 2026, ekonomi Malaysia juga dijangka berkembang antara 4 hingga 5 peratus, manakala inflasi kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.5 peratus,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan-BEBAS) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah faktor utama yang menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit dan manfaat pengukuhan tersebut.
Dari sudut sektor luaran, Chin Tong berkata, prestasi eksport yang kekal kukuh terus menyokong nilai ringgit.
“Eksport pada bulan Mei lalu berkembang sebanyak 45.3 peratus yang merupakan prestasi bulanan terbaik dalam tempoh tiga tahun, manakala pertumbuhan import berkembang sebanyak 14.1 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan bersama Bank Negara juga terus melaksanakan tindakan bersepadu bagi memastikan pasaran pertukaran asing kekal stabil, termasuk inisiatif Syarikat Pelabur Bermastautin yang berkelayakan (QRI) serta libat urus berterusan dengan pelabur institusi dan pengimport.
“Langkah ini bertujuan menggalakkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan,” katanya. – UTUSAN










