PARLIMEN: New Bar Course ganti CLP, fokus latihan, kemahiran 

PARLIMEN: New Bar Course ganti CLP, fokus latihan, kemahiran 

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: New Bar Course (NBC) bakal diperkenalkan bagi menggantikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) menerusi pendekatan baharu yang memfokuskan kepada latihan praktikal dan kemahiran profesional.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) memaklumkan bahawa kajian kurikulum Common Bar Course (CBC) telah diselesaikan pada 31 Mac lalu oleh Jawatankuasa CBC.

Katanya, jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan agar CBC dijenamakan semula sebagai NBC untuk diguna pakai oleh individu yang tidak berkelayakan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Berdasarkan NBC yang akan menggantikan Peperiksaan CLP, Lembaga Kelayakan (LPQB) akan mengadakan dua kursus yang dikenali sebagai Conversion Course (Kursus Peralihan) dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung status terkini kajian NBC dan Kajian Laluan Kerani Berartikel yang dilaksanakan oleh LPQB termasuk cadangan penambahbaikan terhadap sistem latihan dan laluan kemasukan ke profesion undang-undang negara.

Kulasegaran berkata, Conversion Course merupakan program peralihan selama tiga bulan secara dalam talian bagi graduan luar negara yang memerlukan pengenalan berstruktur mengenai sistem perundangan Malaysia termasuk undang-undang substantif teras.

Katanya, kursus berkenaan akan dikendalikan menerusi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang akan dibangunkan oleh LPQB dan dinilai melalui Penilaian Berasaskan Komputer (CBA).

“LPPC pula merupakan program vokasional atau praktikal selama enam bulan secara blok bagi graduan luar dan dalam negara yang memfokuskan kepada amalan kepeguaman sebelum mereka menjalani latihan dalam kamar.

“Program ini diilhamkan sebagai pendekatan baharu yang lebih menekankan pembangunan kemahiran praktikal berbanding Peperiksaan CLP dengan kaedah penilaian yang lebih relevan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, LPQB telah menubuhkan Pasukan Petugas NBC pada 27 April lalu bagi menjalankan kajian bertajuk A Study to Develop the Operational Framework for the New Bar Course (Conversion Course and Legal Practice Postgraduate Certificate): From Policy to Practice.

Beliau berkata, kajian itu bertujuan membangunkan kerangka operasi NBC serta memastikan perancangan pelaksanaannya dapat direalisasikan dengan lancar.

Katanya, pasukan petugas berkenaan dianggotai pakar daripada universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta serta ahli Badan Peguam Malaysia dengan tempoh kajian selama 12 bulan bermula 1 Mei lalu hingga 30 April 2027.

Menyentuh mengenai laluan kerani berartikel, Kulasegaran berkata, LPQB telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi melaksanakan Kajian Strategik dan Pengubahbaikan Laluan Kerani Berartikel dengan tempoh kajian selama sembilan bulan bermula 1 Mac hingga 30 November 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN