KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan bersama dengan kerajaan Perpaduan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejajar titah Yang di-Pertuan Agong demi menjamin kestabilan politik negara.
Katanya, BN terus kekal dengan komitmen itu sehingga tamat penggal Parlimen.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Jelasnya, komitmen itu merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan telah termeterai menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri. –UTUSAN











