PARLIMEN: Malaysia kecam cubaan Israel gagalkan rundingan damai Iran-AS

PARLIMEN: Malaysia kecam cubaan Israel gagalkan rundingan damai Iran-AS

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam cubaan rejim Israel didakwa menggagalkan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ketika ini walaupun memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan itu membimbangkan kerana keamanan di Timur Tengah bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau berkenaan malah turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Katanya, walaupun AS dan Iran telah mencapai persefahaman awal menerusi MoU yang mengandungi 14 syarat utama serta tempoh 60 hari untuk proses ratifikasi, masih terdapat pihak yang dilihat tidak mahu konflik tersebut berakhir.

“Ada pihak yang tidak mahu melihat peperangan ini ditamatkan di Asia Barat iaitu Israel. Israel seboleh mungkin mahu melihat supaya Iran dimusnahkan.

“Maka ada pihak yang berkepentingan mahu menggagalkan rundingan damai antara Iran dan Amerika ini,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan pendirian dan peranan Malaysia berhubung pengumuman MoU antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat.

Tambahnya, cubaan itu dapat dilihat dengan tindakan Israel yang masih meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan walaupun isu pengunduran dan penghentian pencerobohan menjadi antara perkara disentuh dalam MoU tersebut.

“Israel terus mengebom Lubnan. Apa isyarat yang mahu diberikan kepada dunia? Mereka tidak mahu melihat ketenteraman dan keamanan wujud di kawasan itu kerana mempunyai kepentingan tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN