KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menerima sebarang permohonan rasmi Bangladesh untuk mengekstradisi pengasas Bestinet, Amirul Islam Abdul Nor setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya juga tidak menerima sebarang permohonan daripada wakil diplomatik negara itu berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, sebarang proses ekstradisi hanya boleh dipertimbangkan selepas semua prosedur perundangan yang ditetapkan dipenuhi.
“Setakat ini, Kementerian Dalam Negeri tiada menerima sebarang permohonan rasmi daripada Kerajaan Bangladesh mahupun wakil diplomatik negara itu untuk mengekstradisi individu tersebut.
“Kerajaan hanya boleh mempertimbangkan untuk mengekstradisi individu disebutkan atau mana-mana individu setelah semua proses perundangan berkait permohonan ekstradisi dipenuhi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web portal Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini berhubung permintaan Bangladesh untuk mengekstradisi Amirul Islam Abdul Nor, termasuk status kerjasama antara pihak berkuasa kedua-dua negara serta tindakan yang sedang diambil Malaysia.
Saifuddin berkata, proses ekstradisi di Malaysia tertakluk kepada Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) serta perjanjian atau triti ekstradisi yang dimeterai dengan negara asing.
Katanya, walaupun Malaysia dan Bangladesh tidak mempunyai triti ekstradisi, proses berkenaan masih boleh dilaksanakan berdasarkan Seksyen 3 Akta Ekstradisi 1992.
“Sekiranya pihak Bangladesh ingin memohon supaya individu tersebut diekstradisi ke Bangladesh, permohonan perlu dibuat kepada Menteri Dalam Negeri melalui wakil diplomatik negara itu selaras dengan Seksyen 12 Akta 479,” katanya. – UTUSAN









