PETALING JAYA: Ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan menjadi faktor kediaman tidak terjual di negara ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sebanyak 15,401 unit atau 46.9 peratus kediaman tidak terjual adalah rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.
Bagaimanapun beliau berkata, sebahagian besar kediaman tidak terjual iaitu sebanyak 53.1 peratus, dalam kategori harga melebihi RM300,000.
“Selain itu, walaupun hampir separuh daripada unit tidak terjual berada dalam segmen harga RM300,000 dan ke bawah, nilai keseluruhan unit kediaman siap tidak terjual banyak dipengaruhi oleh unit-unit dalam kategori harga yang lebih tinggi.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa isu kediaman tidak terjual bukan hanya melibatkan rumah mampu milik, tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual mengikut negeri dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun mengikut negeri dan kawasan Parlimen.
Tambah Aiman Athirah, KPKT menyedari bahawa cabaran pemilikan rumah dalam kalangan belia dan pembeli rumah pertama memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh
“KPKT sedang memperkukuh pembangunan repositori data perumahan bersepadu di peringkat nasional bagi menyokong perancangan dan penggubalan dasar yang lebih tepat berasaskan data, termasuk memahami keperluan kumpulan sasaran seperti golongan muda dan isi rumah yang baru memasuki pasaran perumahan,” katanya. – UTUSAN







