PARLIMEN: Dana Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin diurus telus

PARLIMEN: Dana Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin diurus telus

RAKYAT Palestin duduk di luar kediaman sementara di sepanjang jalan berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua sumbangan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) diurus secara telus dan disalurkan terus kepada pihak yang memerlukan di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan memastikan setiap bantuan yang disumbangkan benar-benar sampai kepada rakyat Palestin dengan menyalurkannya terus kepada agensi kemanusiaan antarabangsa.

Katanya, ia termasuklah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

“Bantuan makanan dalam jumlah besar juga telah dihantar. Sebelum ini terdapat kekangan untuk membawa masuk bekalan ke Gaza, namun kini laluan darat telah dibuka semula.

“Walaupun kemasukan bantuan masih dihadkan kepada kira-kira 100 kontena sehari, banyak barangan bantuan Malaysia sudah berjaya dibawa masuk melalui kerjasama dengan rakan-rakan di Mesir,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai mekanisme tatakelola AAKRP bagi memastikan dana bantuan itu sampai kepada rakyat Palestin susulan timbul isu mengenai pengurusan akaun itu di media sosial, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, antara keperluan paling mendesak ketika ini ialah bekalan perubatan dan peralatan hospital berikutan kemusnahan besar yang berlaku di Gaza.

“Hospital sudah musnah, sekolah musnah, masjid dan gereja juga musnah. Ramai rakyat Palestin terpaksa berlindung di kawasan pantai di bawah khemah, namun kawasan itu juga terus menjadi sasaran serangan rejim Zionis Israel,” katanya.

Katanya, beliau meminta orang ramai tidak bimbang mengenai pengurusan tabung berkenaan kerana ia dikendalikan dengan pemantauan ketat.

“Tabung amanah ini diuruskan dengan baik oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan diaudit oleh Ketua Audit Negara sebelum laporan dibentangkan secara berkala kepada Jemaah Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN