Soalan bocor, peperiksaan semula calon doktor dikawal ketat tentera - Utusan Malaysia

Soalan bocor, peperiksaan semula calon doktor dikawal ketat tentera

BEBERAPA calon doktor diperiksa sebelum dibenarkan mengambil peperiksaan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Berjuta-juta calon doktor di seluruh India terpaksa menduduki semula peperiksaan penting dalam suasana kawalan keselamatan ketat dan luar biasa. 

Ini kerana mereka terpaksa berbuat demikian selepas kertas peperiksaan pertama dibatalkan ekoran dakwaan berlakunya kebocoran soalan.

Suasana gementar menyelubungi para pelajar yang hadir pada pagi Ahad apabila mereka disambut dengan pemeriksaan identiti biometrik, pengesan logam, rondaan kenderaan perisai dan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh di pusat-pusat peperiksaan.

Enggan mengambil sebarang risiko kali ini, Tentera Udara India dikerahkan untuk menerbangkan kertas soalan baharu ke beberapa wilayah. Anggota polis dan separa tentera ditempatkan di kesemua 5,440 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Ujian Kemasukan Kelayakan Kebangsaan (Prasiswazah), atau lebih dikenali sebagai NEET-UG, merupakan peperiksaan wajib bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di kolej-kolej perubatan di India.

Daripada berjuta-juta calon yang menduduki ujian ini setiap tahun, hanya peratusan kecil sahaja yang berjaya mendapat keputusan cemerlang demi mengukuhkan tempat di kolej pilihan yang menjadi rebutan ramai.

Hampir 2.28 juta calon menduduki peperiksaan itu pada 3 Mei lalu. Mereka mendudukinya selepas menghabiskan masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun mengulang kaji bagi menjawab peperiksaan yang terkenal dengan tahap ke­sukarannya.

Berita mengenai pembatalan peperiksaan tersebut ternyata meranapkan harapan ramai pelajar sehingga mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara yang mendesak Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun, Pradhan eng­gan berbuat demikian dan mem­berikan kata-kata sema­ngat kepada para pelajar sebelum peperiksaan bermula.

Peperiksaan NEET-UG merupakan penentu utama masa depan pelajar di India untuk bergelar doktor, menjadikannya salah satu peperiksaan paling kompetitif dan penuh tekanan di dunia.

Agensi Pengujian Kebangsaan (NTA) memaklumkan bahawa lebih 95,000 bilik secara keseluruhan telah dilengkapi dengan kamera keselamatan. Jumlah keseluruhan kamera yang dipasang adalah melebihi 1.3 juta unit.

Agensi itu menambah, seba­nyak 51,311 alat bagi menyekat isyarat telefon dan gangguan elektrik turut digunakan bagi menghalang penipuan dilakukan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN