PARLIMEN: 6,197 individu hilang kerja, trend masih terkawal

PARLIMEN: 6,197 individu hilang kerja, trend masih terkawal

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Trend kehilangan pekerjaan di negara ini kekal terkawal dengan seramai 6,197 pekerja direkodkan kehilangan pekerjaan setakat 22 Jun lalu melibatkan kira-kira 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus berbanding 7,766 pekerja yang kehilangan pekerjaan pada Mei lalu.

Katanya, pada masa sama usaha penempatan semula pekerjaan turut menunjukkan perkembangan positif.

“Sehingga 12 Jun 2026, MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus iaitu daripada 12,119 orang pada April 2026 kepada 18,756 orang.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi tahun 2026 adalah seramai 62,644 orang,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi diambil menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global, selain hasil pelaksanaannya setakat ini.

Akmal Nasrullah berkata, angka berkenaan meliputi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.

“Berdasarkan intervensi bersepadu yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan ini, landskap pasaran buruh dan perniagaan kekal berdaya tahan serta berada dalam keadaan terkawal sepanjang suku pertama dan kedua tahun 2026.

“Setakat April 2026, jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang, manakala penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras 70.9 peratus dan tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, sekali gus mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN