KUALA LUMPUR: Pemilik dan pengusaha Opah Strawberries & Jams di Cameron Highlands, Zamzam Zulaikha Abu Shah tampil membuat penjelasan terbuka serta memohon maaf susulan beberapa tindakannya di media sosial yang menjadi perhatian ramai sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu kenyataan di platform Threads, wanita yang lebih dikenali sebagai Kak Ika itu memohon maaf kepada individu yang menerima balasan komen berunsur kasar daripadanya pada satu hantaran video ketika beliau berada di atas motosikal di Cameron Highlands.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah tidak wajar dan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap cara balasan yang diberikan kepada komen-komen berkenaan.
“Saya telah mengambil inisiatif untuk menghubungi akaun-akaun yang terlibat secara peribadi menerusi mesej langsung (DM) di Threads dan TikTok bagi menyampaikan permohonan maaf saya.
“Setakat kenyataan ini dibuat, sebahagian daripada mesej tersebut masih berada dalam Message Request dan belum dibuka oleh penerima,” katanya.
Mengulas lanjut, Kak Ika menjelaskan video yang tular itu sebenarnya dirakam bagi menunjukkan keadaan lalu lintas di Cameron Highlands. Beliau turut memohon maaf sekiranya kandungan tersebut menimbulkan salah faham atau ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan isu membabitkan kenyataan mengenai ‘B40’ yang tular di media sosial.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat ketika sesi siaran langsung berkaitan “bangsa-bangsa yang masuk” sebenarnya merujuk kepada akaun luar negara dari Vietnam dan Thailand yang sering memasuki siaran langsungnya serta mengambil ‘Treasure Coin’ dan ‘Treasure Box’ yang disediakan untuk para pengikut.
Beliau mendakwa sebahagian rakaman yang tersebar telah dimanipulasi sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
Katanya, beliau juga bersedia untuk berkongsi semula rakaman penuh siaran langsung berkenaan bagi menjernihkan keadaan.
“Kenyataan tersebut tidak ditujukan kepada golongan B40 atau mana-mana kumpulan masyarakat di Malaysia. Saya sama sekali tidak berniat untuk menghina atau memperlekehkan mana-mana pihak.
“Saya sendiri bukan berasal daripada keluarga berada, justeru tidak mempunyai niat sedemikian,” katanya.
Dalam penjelasan sama, Kak Ika berkata, beliau menerima segala teguran yang diberikan dan menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran penting untuk lebih berhati-hati dalam berkomunikasi di media sosial pada masa hadapan.
Beliau berharap penjelasan yang diberikan dapat meredakan kekeliruan yang timbul selain menegaskan bahawa fokusnya kini adalah terhadap keluarga, pekerja, pelanggan serta perniagaan yang diusahakan.










