TUMPAT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencari formula terbaik bagi memulihkan ekonomi penduduk sempadan yang terjejas susulan operasi perobohan jeti haram di sepanjang Sungai Golok, sekali gus memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, isu berkenaan dipandang serius dan akan dibincangkan secara menyeluruh bersama kerajaan negeri bagi merangka langkah-langkah baharu yang mampu menjana semula aktiviti ekonomi di kawasan terlibat.
Katanya, keutamaan MKN ketika ini bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan sempadan, malah memastikan penduduk yang bergantung kepada aktiviti ekonomi rentas sempadan tidak terus terkesan.
“Kita mengambil serius isu ini dan perlu berlaku adil kepada penduduk di kawasan sempadan. Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat MKN bersama kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim esok dan dibincangkan secara mendalam,” katanya selepas Program Kesepaduan Nasional @ Tumpat di Wat Machimmaram, Jubakar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan ekonomi yang dihadapi penduduk selepas pelaksanaan operasi merobohkan jeti haram di sepanjang Sungai Golok.
Raja Nurshirwan berkata, operasi perobohan jeti haram yang bermula pada 29 April lalu selesai sepenuhnya melibatkan 91 jeti berstruktur yang dibina di atas tanah kerajaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, sebanyak 226 jeti dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok, namun sebahagiannya berada di atas tanah milik individu dan tidak terlibat dalam operasi berkenaan. – UTUSAN










