Scammer : Mereka yang menggoda atau mangsa yang haloba?

Mereka yang kian rakus menggoda atau mangsa yang makin haloba?

ORANG ramai perlu berwaspada dan bijak membuat penilaian dan pengesahan bagi mengelak terjebak dan masuk perangkap scammer yang memperdaya mangsa mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang wanita yang agak berusia dan merupakan ibu tunggal memarahi anak-anak yang menasihatinya supaya tidak terpedaya dengan pujuk rayu lelaki yang tidak dikenali.

Lelaki berkenaan dikatakan cuba memujuk wanita berkenaan memasukkan sedikit wang ke dalam akaun peribadinya.

Lelaki scammer berkenaan seolah-olah mengambil berat nasib wanita tersebut. Apabila dinasihati anak anaknya bahaya tersebut kerana dia telah terpedaya dengan lelaki scammer tersebut, wanita berkenaan malah memarahi mereka, dan memberitahu lelaki berkenaan terlalu baik, menyayangi dan mengambil berat keadaan dirinya.

“Awak apa tahu, tidak kenal pun lelaki itu. Dia ambil berat tentang saya, bukan macam awak.

“Dia selalu tanya sudah makan kah belum, sihat ke tidak?” kata wanita tersebut mempertahankan ‘kekasih’ alam mayanya.

Demikian antara sekelumit kisah atau naratif pembujukan membingungkan kita, antara scammer yang gigih memperdaya mangsa dan mangsa yang taat dan jatuh sayang membuta tuli.
Amat menyedihkan tetapi kita belum berhenti mendengar mangsa terpedaya kehilangan wang yang banyak. Kes sentiasa ada. Ada kes yang menjadi mangsa pelaburan tidak wujud kerana terpedaya pulangan yang menarik.

Pada bulan lepas, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan isu scam telefon dan penipuan digital bukan lagi kes terpencil, sebaliknya sudah menjadi ancaman serius terhadap keselamatan data, kewangan dan kesejahteraan rakyat apabila kerugian dilaporkan meningkat kepada RM2.77 bilion tahun lalu.

Katanya, angka itu membuktikan penipuan digital kini menjadi ancaman berskala nasional yang memerlukan tindakan lebih tegas, bukan sekadar respons selepas mangsa mengalami kerugian.

“Mereka ini taksub dengan wang ajaib tapi akhirnya terpedaya,” kata Duta Anti Scam, bekas pegawai berpangkat ASP, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rahmat Fitri Abdullah dalam nada kesal memberitahu saya.

Beliau yang gigih turun padang memberi pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya menjadi mangsa scammer ini berkata, penerangan perlu terus diberi kepada orang ramai supaya tidak menjadi mangsa pelaburan palsu dan iklan mengelirukan bagi mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan.

Rahmat Fitri justeru mengajak orang ramai supaya sentiasa berfikir. Jangan terlalu tamak dan taksub dengan duit datang bergolek tiba-tiba.

Beliau berkata, selain sikap tamak dengan wang mudah, orang kita mudah percaya dengan dakwaan dan janji berlebihan sedangkan berniat menipu.

Malah kata Rahmat Fitri, beliau juga pernah memberi nasihat kepada seorang wanita supaya tidak terpedaya dengan bujuk rayu lelaki yang menyamar scammer meminta wang dimasukkan ke dalam akaun mereka.

“Saya pun kena marah dengan wanita (seperti) itu,” ujarnya mengingatkan kita senario seorang ibu tunggal yang memarahi anak-anaknya, dan tidak mustahil ada kes yang lebih teruk daripada itu.

Selain kes mangsa pelaburan dan scammer media sosial ini, satu lagi isu media sosial yang mendedahkan pengguna dengan penipuan adalah iklan mempromosikan barangan atau produk.

Barang yang dijual kadang kala untuk kegunaan orang dewasa, yang sudah berumah tangga tetapi di jual begitu rupa dengan kata-kata berbaur lucah bagi memancing tarikan orang ramai yang dilakukan oleh wanita Islam.

Iklan memalukan yang bertebaran di media sosial yang kerap muncul dengan kata-kata tanpa segan-silu dipromosikan wanita Islam bertudung serta ada yang berpakaian mencolok mata.

“Penjualan produk kesihatan untuk kebahagian rumah tangga kononnya, tetapi begitu menjijik dan memualkan.

“Apa pihak berkuasa seperti MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) buat? MCMC patut turunkan iklan jenis ini.

“Kalau tidak, ramai lagi akan terpedaya dan tidak perlulah tunggu laporan dulu untuk bertindak. Orang ramai pula perlu berfikir sebelum mempercayainya, “ujar beliau dan berharap jabatan agama memberi teguran kepada mereka yang berbuat demikian demi maslahah masyarakat.

Berdasarkan statistik 2026, bagi iklan produk atau perkhidmatan tidak dibenarkan sebanyak 2,033 iklan diturunkan oleh MCMC.

Sehingga Mei tahun ini , MCMC telah meminta platform media sosial menurunkan 271,472 kandungan, dan 91 peratus daripadanya berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian. Setakat suku pertama tahun ini pula , sebanyak 43,618 kandungan scam di media sosial telah diturunkan.

MCMC patut terus proaktif kerana hantaran media sosial seperti itu antara punca scammer mengaut keuntungan. Dalam pada itu, National Scam Response Centre (NSRC) yang diwujudkan boleh membantu mangsa selepas mereka membuat aduan.

“Isunya orang ramai perlu berfikir sendiri sebelum bertindak melayan laman web ini, (dan) berfikir sama ada ia sah atau penipuan,” kata Rhmat Fitri lagi.

Namun, atas rasa kesian dan simpati bagi mengelak lebih ramai mangsa terjebak dengan perbuatan scammer tersebut, Rahmat Fitri baru-baru ini mewujudkan Pelan Perlindungan Komuniti Digital menerusi syarikatnya Rahmat Fitri Consultant dengan harapan tidak lagi ramai mangsa kehilangan wang.

Dalam pada itu, laporan baru-baru ini yang menyatakan pusat operasi Scammer Myanmar, Thailand dan Laos berpindah ke Malaysia menimbulkan kebimbangan kita.

Jika laporan itu benar, bermakna kita semakin didekati dengan golongan penipu ini.

Penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim menyifatkan isu itu membuktikan Pusat Panggilan sindiket dalam talian memiliki kemampuan menjalan atau memindahkan operasinya serta-merta di mana-mana negara dalam tempoh singkat jika kawasan asal sudah menjadi tidak selamat.

“Sekali pun demikian, ada juga yang memang sukar dikesan secara kaedah pemerhatian fizikal kerana adanya kawalan ketat, “ ujarnya.

Sindiket jenayah penipuan itu kini memindahkan pangkalan dan operasi ke negara ini berikutan penguatkuasaan yang semakin ketat di negara berkenaan.

Menurut beliau, ini kerana mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan berbeza. Misalnya daripada pemasang sistem berkenaan kepada pengurus operasi yang masing-masing saling tidak mengenali sesama sendiri.

Mampu kah kita bertahan daripada serangan scammer ini yang semakin gila mempengaruhi orang ramai, dan dengan sindiket yang bercambah serta iklan memualkan seolah-olah mempromosi seks. Orang ramai semakin terdedah kepada penipuan. Angka penipuan dalam nilai ringgit menunjukkan mereka semakin rakus menggoda duit mangsa dan golongan mangsa pula tamak kepada wang menjadi punca berleluasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN