SERDANG: Malaysia mahu terus meneroka teknologi baharu termasuk dron dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara muncul sebagai antara hab teknologi utama di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selepas berjaya menarik pelaburan dalam industri semikonduktor dan pusat data, negara kini perlu bergerak pantas membangunkan industri baharu termasuk teknologi dron.
Katanya, Malaysia kini menjadi antara tumpuan utama di rantau ini dalam pertumbuhan pusat data dan AI, sekali gus membuktikan keupayaan negara untuk bersaing dalam bidang teknologi tinggi.
“Kita tahu negara kita pernah menjadi gergasi dalam pengeluaran getah dan minyak timah. Kemudian kita beralih ke bidang industri peringkat rendah sebelum meningkat lagi dalam bidang-bidang baharu.
“Sekarang, Malaysia dengan strategi semikonduktor yang baharu menjadi tarikan dan pengeluaran semikonduktor (kita) antara yang paling kuat di rantau ini.
“Sebab itu strategi semikonduktor kita berhasil. Tetapi kita juga harus meningkat lagi. Sekarang, bidang AI dan pusat data menjadikan Malaysia antara tumpuan utama di rantau ini,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, industri dron merupakan antara bidang baharu yang perlu diberi perhatian kerana sebelum ini teknologi berkenaan tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan utama negara.
Katanya, kerajaan juga telah mengarahkan Kabinet, kementerian berkaitan, syarikat penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan supaya memberikan segala sokongan yang diperlukan kepada industri pesawat tanpa pemandu (UAV).
“Mereka tidak perlu risau mengenai keperluan kerana dasar sudah jelas. Sekarang, industri dron dan industri berkaitan telah diberikan sokongan.
“Bukan sahaja untuk pesawat udara dan industri pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai aktiviti. Contohnya, dalam pembungkusan, saya telah melihat penggunaan dron yang luar biasa untuk membantu meningkatkan produktiviti melalui teknologi baharu, dron dan AI,” katanya.
Tambah Anwar, pasaran UAV global dijangka melepasi AS$55 bilion menjelang 2030, sekali gus membuka peluang besar kepada Malaysia untuk memanfaatkan pertumbuhan industri tersebut.
“Jika Malaysia mahu menjadi negara yang lebih berjaya dari segi ekonomi, kita mesti cepat dan pantas meneroka teknologi serta bidang-bidang baharu.
“Dron adalah satu bidang yang berkait rapat dengan digital dan AI dan kita harus membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuk memanfaatkannya,” katanya.-UTUSAN










