‘MADA, mana baja kami’

‘MADA, mana baja kami’

PARA pesawah melakukan kerja-kerja penanaman padi di sekitar Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesawah terpaksa menanggung kerugian disebabkan isu kelewatan bekalan baja subsidi yang terus berlarutan setiap musim yang menyebabkan tumbesaran terbantut, sekali gus mengakibatkan hasil merosot sehingga 50 peratus bagi satu hektar.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, dilema tersebut kini terpaksa ditanggung kira-kira 50,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang membabitkan keluasan 100,685 hektar apabila bekalan baja urea difahamkan masih belum dibekalkan di kebanyakan kawasan meskipun tanaman padi sudah melebihi 20 hari.

Katanya, isu kelewatan pembekalan baja urea Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) di kawasan MADA itu dilihat menjadi kegagalan pentadbiran yang serius, sekali gus membebankan para pesawah.

Katanya, ketika ini, tanaman padi di kebanyakan kawasan telah melebihi 20 sehingga 30 hari, namun baja yang sepatutnya dibekalkan itu masih belum diterima.

Justeru beliau mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab jika hasil padi terus merosot ekoran daripada kelewatan tersebut.

“Jangan sesekali menyalahkan pesawah kononnya tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau tidak me­ngurus tanaman dengan baik. Hakikatnya, bagaimana pesawah mahu mematuhi jadual pembajaan jika input asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan sendiri gagal disediakan mengikut masa ditetapkan.

“Ini bukan sekadar kelewatan logistik, ia adalah kegagalan yang memberi kesan terus kepada produktiviti sawah, pendapatan pesawah dan keselamatan makanan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Shazwan turut mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya memberikan penjelasan dalam kadar segera kepada seluruh pesawah berhubung isu itu.

Beliau mempersoal pembekalan baja tersebut masih gagal disempurnakan sedangkan musim penanaman telah lama bermula.

“Antara persoalan lain yang perlu dijelaskan, siapa yang bertanggungjawab atas kelewatan ini dan apakah tindakan telah diambil terhadap pihak yang gagal melaksanakan kontrak.

“Kita juga mahu tahu, bila­kah tarikh sebenar semua pesawah di kawasan MADA akan menerima baja mereka.

“Pesawah tidak mahu lagi sekadar jawapan sedang diteliti, dalam tindakan atau akan diselaraskan. Umur padi tidak menunggu birokrasi kerana setiap hari kelewatan adalah kerugian yang tidak boleh di­pulihkan.

“Jika kerajaan benar-benar menghargai pesawah sebagai tulang belakang keterjaminan makanan negara, bertindak sekarang bukan selepas musim menuai gagal,” katanya,

Mohd. Shazwan menegaskan, cukup-cukuplah pesawah dijadikan mangsa kelemahan pentadbiran pihak bertanggungjawab, kerana yang mereka perlukan bukan sekadar janji atau alasan, tetapi baja yang sepatutnya sudah berada di sawah sejak minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×