Macai dinobat Filem Terbaik AMPFKL11 - Utusan Malaysia

Macai dinobat Filem Terbaik AMPFKL11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Filem Macai arahan Sun-J Perumal dinobat sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (AMPFKL) ke-11 yang berlangsung di Kafe Tiga Belas, di sini, semalam.

Kejayaan Macai berjaya mengetepikan saingan sengit empat finalis lain dalam kategori sama iaitu Ninavau, Mencari Ramlee, Badak dan Malam Terlarang.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Sun-J mendedikasikan pengiktirafan itu kepada isterinya serta seluruh barisan kru yang telah bertungkus-lumus merealisasikan visi filem berkenaan.

“Terima kasih kepada pihak penganjur. Saya cukup gembira berada di sini kerana saya percaya kritikan yang membina akan melahirkan pengarah yang lebih baik.

“Penghargaan ini juga buat isteri yang setia menguruskan rumah tangga sewaktu saya mengejar impian, selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada pihak penerbit dan keluarga.

“Walaupun Macai merupakan sebuah naskhah berbajet sederhana, namun kami membawa impian yang besar. Segala-galanya tidak akan terhasil tanpa komitmen kru dan pelakon yang menterjemahkan visi saya ke dalam bentuk visual,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, wakil ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Fadli Al-Akiti menyifatkan tahun lalu sebagai tempoh yang rancak buat industri perfileman tempatan, khususnya dengan kebangkitan sinema Borneo serta keberanian pembikin filem menyentuh isu-isu sensitif.

Menurut Fadli, sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, lebih 70 filem tempatan telah ditayangkan di pawagam.

“Walaupun terdapat pengulangan premis dan tema seperti tahun-tahun sebelumnya, namun harus diakui terdapat kemajuan dari segi kepakaran di belakang tabir.

“Sebuah filem tidak terhasil menerusi penentuan seorang individu sahaja, sebaliknya ia adalah hasil kerja berpasukan yang membolehkan layar ‘berbicara’ kepada penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, Fadli tidak menafikan masih terdapat ruang penambahbaikan terutamanya dalam aspek penceritaan dan penyusunan plot secara visual.

“Masih ada masalah dalam cara penceritaan di skrin. Malah, ada gaya penceritaan yang tidak menggugah, adakalanya melilau mencari arah atau kelihatan longgar daripada aspek sebab dan akibat.

“Hal ini penting kerana sesebuah filem sepatutnya membangkitkan persoalan, renungan dan menemukan penonton dengan inti pati kemanusiaan,” katanya lagi.

Tambah Fadli, satu perkembangan menarik yang dapat dilihat adalah kemunculan sinema Borneo yang semakin memberikan impak, selain kehadiran sinema Mahua daripada pembikin muda serta sinema India tempatan yang kini semakin mendapat tempat di pawagam seluruh negara.

Bersempena AMPFKL ke-11, penganjur turut membawakan program Pasca Wayang: Rayakan Sinema, Raikan Wacana yang menampilkan tiga sesi perbincangan iaitu Kritikan Filem di Malaysia bersama Daniyal Kadir, Mengulas Filem di Media Sosial bersama Fadli Al-Akiti, Mat Don dan Akmal Hamzah, serta Masa Depan Penonton Kita bersama Datuk Saniboey Mohd Ismail pada hari yang sama.

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur merupakan kelompok pengkritik filem yang terdiri daripada editor, penulis, blogger serta pencipta kandungan yang aktif menulis dan membincangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa.

Berikut merupakan senarai pemenang AMPFKL KE-11:

Filem Terbaik
Macai – Sun-J Perumal & Sivanantham Perianan

Pengarah Terbaik
Bebbra Mailin -Ninavau

Pelakon Lelaki Terbaik
Hindra Bose – Simple Manusan

Pelakon Wanita Terbaik
Sofia Jane – Mencari Ramlee

Lakon Layar Terbaik
Muzzamer Rahman & Bebbra Mailin -Ninavau

Sinematografi Terbaik
Gwai Lou -Macai

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Sabri Yunus -Malam Terlarang

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Sofia Jane-Malam Terlarang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN