IPOH: Walaupun mengalami kecederaan lutut ketika dalam perjalanan, ia bukan penghalang buat Neow Choo Seong, 41, untuk meneruskan misi larian sejauh 290 kilometer dari Taiping ke Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan Pemuda MCA itu melaksanakan misi yang dinamakan ‘Larian Solidariti Bersama DAK’ bagi menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurut Choo Seong, kecederaan yang dialami ketika cuba mengelak sebuah kenderaan di jalan tidak rata di Padang Rengas memaksanya berhenti rehat seketika sebelum meneruskan semula larian dari Chemor ke Ipoh.
Katanya, beliau pada asalnya menyasarkan larian sejauh 60 kilometer pada hari pertama, namun kecederaan tersebut menyebabkan jarak yang berjaya disempurnakan terpaksa dipendekkan kepada 50 kilometer.
“Saya memulakan larian pada pukul 5 pagi dan sampai di Ipoh sebelum pukul 7 petang.
“Larian untuk hari pertama ini agak mencabar kerana laluan dari Taiping ke Ipoh yang berliku dan berbukit-bukau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menamatkan larian di Ipoh Padang, di sini hari ini.
Menurut Choo Seong, sepanjang larian, beliau ditemani sukarelawan dan beberapa pelari yang tidak putus-putus memberi semangat untuknya meneruskan larian walau dalam keadaan sakit pada bahagian lutut kanan.
Katanya, beliau akan mendapatkan rawatan malam ini bagi memastikan keadaannya cukup kuat bagi meneruskan larian dari Ipoh ke Kampar yang bermula pukul 5 pagi esok.
“Malam ini saya akan mendapatkan rawatan dan jika perlu mengambil ubat tahan sakit, saya akan ambil kerana saya mahu menamatkan larian sebelum persidangan Parlimen bermula pada Isnin ini.
“Saya mesti habiskan larian ini sehingga ke Parlimen,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai larian tersebut, beliau berkata, usaha berkenaan bukan untuk kepentingan dirinya, sebaliknya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib haiwan dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat.
Katanya, ia juga bagi menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu tersebut dan apa langkah yang telah diambil mereka.
“Larian ini bukan tentang diri saya. Ia tentang Dara, Amoi dan Kelat. Saya mahu isu ini dibawa dan dibahaskan di Parlimen supaya mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










