KANGAR: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif menerbitkan lima dokumentari khas mengenai kumpulan etnik minoriti di Malaysia.
Ia membabitkan Pertubuhan Masyarakat Cakna Harmoni (MYCAKNA); Pertubuhan Masyarakat Insaniah dan Inklusif (Permaidani); Pertubuhan Peduli Masyarakat Sejahtera (Permas), Pertubuhan Anak Muda Ikatan Rakyat Selangor (Amir) dan Pertubuhan Mestika Santuni Masyarakat (Mestika) yang tampil menggembleng tenaga serta kepakaran bagi menjayakan inisiatif berskala nasional itu.
Inisiatif yang dilaksanakan menerusi Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) Kementerian Perpaduan Negara itu bukan sahaja bertujuan merakam sejarah, budaya dan identiti komuniti etnik minoriti, malah berperanan sebagai jambatan kefahaman antara rakyat yang datang daripada latar belakang berbeza.
Pengerusi Pertubuhan Masyarakat Cakna Sejahtera, Riza Imran Abd. Razak berkata, antara etnik yang dicadangkan itu adalah seperti Rungus, Dusun Liwan, Dusun Bundu, Dusun Lotud untuk Sabah manakala Sarawak etnik seperti Kiput, Berawan, Sihan, Lun Bawang dan Narum.
Katanya, setiap pertubuhan akan memberi tumpuan kepada satu kumpulan etnik minoriti yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi budaya, adat resam, bahasa dan warisan masyarakat terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, melalui pendekatan dokumentari bersifat autentik dan berteraskan pengalaman sebenar komuniti, projek itu diharap mampu membuka mata masyarakat terhadap kekayaan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
“Usaha itu dilihat selari dengan titah Yang di-pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini yang menegaskan bahawa hadiah paling bermakna adalah perpaduan. Titah tersebut membawa mesej yang cukup besar kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut bergantung kepada keupayaan rakyatnya untuk hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan bersatu padu.
“Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berulang kali menegaskan bahawa kepelbagaian kaum dan budaya merupakan kekuatan utama Malaysia yang perlu terus dipelihara. Selaras dengan aspirasi tersebut, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang turut menegaskan bahawa perpaduan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan nasional yang menjadi asas kepada kestabilan negara,” katanya di sini hari ini.
Dalam konteks tersebut, projek dokumentari yang diterajui oleh lima NGO ini dilihat sebagai satu bentuk arkib perpaduan rakyat yang mendokumentasikan kisah-kisah masyarakat yang sering berada di luar arus perdana.
Walaupun Malaysia dikenali sebagai negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, masih terdapat banyak komuniti minoriti yang kurang dikenali oleh masyarakat umum.
Sebahagian mereka hidup di kawasan pedalaman, mengekalkan adat resam turun-temurun dan berusaha mempertahankan identiti budaya yang semakin berdepan cabaran perubahan zaman.
Justeru, dokumentari yang bakal diterbitkan itu bukan sekadar rakaman visual biasa, tetapi menjadi platform untuk memperkenalkan sejarah, perjuangan, nilai kehidupan dan sumbangan komuniti-komuniti tersebut kepada pembentukan identiti Malaysia.
Apa lebih penting, pendekatan yang digunakan memberi ruang kepada masyarakat untuk mendengar sendiri suara komuniti berkenaan, memahami realiti kehidupan mereka serta menghargai keunikan yang menjadikan Malaysia berbeza daripada negara lain.
Gabungan lima NGO ini juga memperlihatkan model kerjasama masyarakat sivil yang matang dan progresif. Daripada bergerak secara berasingan, kelima-lima pertubuhan berkenaan memilih untuk berkongsi pengalaman, sumber dan kepakaran bagi memastikan impak lebih besar dapat dicapai.-UTUSAN










