BUKIT MERTAJAM : Lelaki yang tular kerana memandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan berbahaya di sekitar Seberang Jaya sehingga melanggar beberapa buah kenderaan lain semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret J. Savinder Singh bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.
Suspek berusia 29 tahun sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.45 pagi dengan diiringi oleh anggota polis.
Dalam kejadian semalam, suspek bagaimanapun berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhadapan stesen minyak Caltex Seberang Jaya di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah, hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur-hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 0.75 gram dan ketamin seberat 2.38 gram.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin manakala semakan lanjut mengesahkan bahawa lelaki itu turut mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan berkaitan jenayah.-UTUSAN










