Lelaki ditemukan meninggal dunia selepas 11 hari hilang

Lelaki ditemukan meninggal dunia selepas 11 hari hilang

Lokasi tempat mayat Asmadi Ibrahim ditemui selepas 11 hari dilaporkan hilang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun getah selepas 11 hari dia dilaporkan hilang di Felda Teloi Timur, di sini.

Mayat lelaki terbabit, Asmadi Ibrahim, 58, dijumpai berhampiran motosikalnya kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Menurut anaknya, Nurul Atirah Nadira, 23, yang menetap di Kuala Lumpur, dia menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan mengenai penemuan mayat bapanya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Saya diberitahu ayah sudah dijumpai tetapi dalam keadaan sudah meninggal dunia. Memang terkejut dan sedih, namun saya reda ayah sudah tiada.

“Saya dan suami bercadang untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat. Tak sangka hari ini dapat perkhabaran ayah sudah ditemui. Saya tidak sabar hendak jumpa ayah meskipun hanya jasadnya yang sudah tidak bernyawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, meskipun bersedih dengan pemergian bapanya, dia bersyukur kerana jasad insan yang disayanginya itu akhirnya berjaya ditemukan.

“Dalam tempoh pencarian itu, saya sentiasa berdoa agar ayah dijumpai selamat. Beberapa masjid juga mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat supaya usaha pencarian dipermudahkan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu bapanya adalah pada Hari Raya Aidiladha lalu dan tiada sebarang perubahan ditunjukkan arwah, malah  dia sangat gembira melayan dua cucunya seperti biasa.

Tambahnya, polis sebelum ini turut membuat pemeriksaan di bilik arwah dan mendapati keadaannya lebih teratur serta kemas berbanding sebelum ini kerana arwah tinggal bersama bapa mentuanya, Taharin Abdullah, 80, selepas kematian isteri.

“Bilik ayah sangat bersih dan tersusun rapi. Tempat solatnya bersih, al-Quran dan kopiahnya tidak berhabuk. Baju Melayunya wangi dan tempat tidurnya juga kemas.

“Ayah tiada sebarang penyakit dan sihat. Saya sedih kerana ayah pergi tanpa kami di sisinya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur selepas jenazah selesai diuruskan,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah keluar mencari rumput untuk kambingnya di Felda Teloi Timur pada 10 Jun lalu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN