JOHOR BAHRU: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu memilih calon yang mempunyai rekod perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun dilabel kitar semula berbanding pemimpin yang hanya bertanding untuk memenangi pilihan raya sebelum berpindah ke kawasan lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed Rahmat berkata, perkara itu jauh lebih baik berbanding calon yang ditampilkan Pakatan Harapan (PH) yang tidak ikhlas berkhidmat kepada penduduk tempatan.
“PH pun letak calon ‘recycle’, mereka letak calon yang tidak dikenali orang ramai, kemudian apabila telah menang sepenggal mereka lari ke tempat lain. Calon terdahulu diletakkan di tempat lain, mereka buat begitu kerana tiada niat berkhidmat kepada masyarakat, mereka tukar-tukar calon.
“BN walaupun dikatakan calon ‘recycle’, tetapi merupakan individu yang berpengaruh. Mereka dikenali dan telah diberikan kepercayaan untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.
“Jadi calon mana yang lebih baik, calon ‘recycle’ yang ambil perhatian isu-isu rakyat dikawasan berkenaan atau calon ‘recycle’ yang akan bertukar-tukar kerusi ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Warga Pangsapuri Saujana di Pangsapuri Bukit Saujana, di sini hari ini.
Tambah Nur Jazlan, tindakan dibuat pemimpin PH yang bertanding di mana-mana kerusi kemudian bertukang ke kerusi lain pada pilihan raya seterusnya dilihat seolah-olah seperti hanya mementingkan diri sendiri, berbanding mengutamakan kepentingan rakyat.
“Cara mereka buat itu tidak ikhlas, letak calon untuk menang pilihan raya, lepas itu pindahkan tempat lain. Tindakan itu seolah-olah mereka hanya mahu menambahkan pencen mereka sahaja,” katanya.
Nur Jazlan turut memberitahu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Liew Chin Tong yang juga Pengarah Strategik DAP bukan orang tempatan, tetapi buat keputusan meninggalkan kerusi itu setelah memenanginya pada PRN lalu.
“Mana dia pergi, hilang terus. Datang ke Perling bertanding pada 2022 untuk cari pencen tambahan. Dia memang terkenal menjadi calon katak, daripada Pulau Pinang, ke Kluang, selepas itu Ayer Hitam kemudian ke Iskandar Puteri.
“Jadi saya tidak mahu masyarakat di sini tertipu lagi, kita perlu pilih wakil rakyat yang akan beri khidmat terbaik kepada masyarakat. Kejadian menimpa Marina Ibrahim turut menjadi bukti DAP mempergunakan calon Melayu untuk tarik sokongan, kemudian pula ditukar ke tempat lain,” katanya. – UTUSAN










