Larangan umum projek baharu semasa pilihan raya masih berkuat kuasa

Larangan umum projek baharu semasa pilihan raya masih berkuat kuasa

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan larangan mengumumkan peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon bagi pilihan raya masih berkuat kuasa selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen pilihan raya boleh diteruskan namun tiada sebarang pengumuman projek atau dasar baharu dibenarkan dibuat oleh kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, ketetapan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi tidak ada penggunaan jentera atau pengumuman projek atau dasar baharu negeri. Itu peraturannya, jadi kalau ini terpakai bagi projek-projek baru.

“Ada masalah-masalah dibangkitkan kerana projek diteruskan, itu kalau ikut peraturan memang dibolehkan penerusan projek yang sedia ada. Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu untuk masa kempen, sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Shahidan membangkitkan isu pengumuman beberapa peruntukan projek oleh Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Johor sebelum hari penamaan calon.

Anwar berkata, perkara tersebut sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya terdapat keterlanjuran dan pelanggaran etika sepanjang tempoh berkempen.

“Saya kalau umum sebelum penamaan calon, itu peraturan mengizinkan. Jadi, tidak melanggar etika, yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, hina, mencerca, menipu itu etika lebih besar. Itu yang kita kena elak.

“Jadi kalau berbicara etika, saya sangat setuju dengan Arau. Kalau kita bangkitkan balik soal akhlak, soal etika dalam kempen ini sangat baik. Ini maknanya jangan terlanjur daripada itu, itu peringatan kepada semua.

“Tidak boleh dan kita juga bentangkan dan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengingatkan kalau-kalau kebimbangan, keterlanjuran dan juga pada timbalan-timbalan Menteri. Ini juga terpakai kepada Menteri besar dalam tempoh kempen,” katanya.

Menyentuh dakwaan mengenai pengumuman projek oleh Kor Ming di Johor, beliau berkata, semakan dengan SPR mendapati projek berkenaan telah diluluskan menerusi Belanjawan 2025 dan bukannya projek baharu.

“Saya semak dan dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut daripada segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan.

“Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan dari peraturan pilihan raya. Saya semak daripada segi undang-undang dan juga pada SPR tentang Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN