Lagu ‘easy-listening’ ini sesuai masuk stesen radio - Yonnyboii - Utusan Malaysia

Lagu ‘easy-listening’ ini sesuai masuk stesen radio – Yonnyboii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yonnyboii menganggap lagu berkonsepkan santai atau “easy listening” tetap mempunyai pasaran sendiri dan mampu bersaing dengan lagu-lagu balada yang disifatkan lebih mendominasi dalam industri muzik Malaysia.

Yonnyboii atau Muhammad Haqeem Nuriman bin Nor Azrin, 28, berkata, muzik sedemikian mempunyai kelebihan tersendiri kerana sifatnya yang ringkas dan digemari ramai serta memudahkan sesebuah karya diterima baik oleh stesen radio tempatan mahupun platform penstriman digital.

“Bagi saya, lagu-lagu easy listening ini sentiasa ada dalam pasaran semasa. Saya kira, karya sebegini lebih mudah untuk diputarkan di radio kerana pendengar adakalanya enggan melayan muzik yang terlalu sarat.

“Sebagai pendengar yang menghayati pelbagai genre muzik, ada ketikanya telinga kita berasa penat apabila mendengar lagu terlalu berat. Jadi, kehadiran genre sebegini memberikan ruang yang lebih segar,” katanya.

Yonnyboii berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media Sempurna di Universal Music Malaysia, di sini, pada Khamis.

Tambah Yonnyboii, meskipun tahu lagu santai sebegitu jarang menang di pentas anugerah, tetapi kehadirannya sekurang-kurangnya dapat memberikan sesuatu yang baharu dalam industri muzik tempatan.

“Untuk pencapaian di pentas anugerah pula, industri kita mungkin jarang mengetengahkan sesuatu karya yang ringkas. Bagaimanapun, sekiranya ada, ia pasti akan menjadi sebuah karya yang cukup segar.

“Saya sebenarnya tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga ke tahap itu. Saya cuma berharap agar orang ramai boleh berasa relaks dan tenang sahaja apabila mendengar lagu sebegini.

“Lagu sebegini membolehkan anda mendengarnya sahaja tanpa perlu memikirkan maksud liriknya secara mendalam. Sesiapa sahaja boleh memahaminya dengan mudah, sama seperti konsep yang dibawakan dalam lagu-lagu nyanyian Justin Bieber,” katanya.

Untuk rekod, Yonnyboii mula mencipta nama menerusi lagu Sakit bersama Zynakal, selain popular dengan karya solo seperti Salahku dan Bayang.

HABIS//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN