KUALA LUMPUR: Kurang daripada satu peratus pengguna Budi Madani RON95 (BUDI95) menggunakan lebih 200 liter petrol sebulan sejak program itu diperkenalkan bermula Oktober 2025 hingga Mei lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi penggunaan diesel pula, kelayakan 300 liter sebulan di bawah Budi Madani adalah mencukupi untuk majoriti rakyat di negara ini.
Katanya, data penggunaan diesel Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah 200 liter sebulan dengan purata sekitar 140 liter.
“Namun, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat terdiri daripada kenderaan utiliti sukan (SUV), jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama bagi peniaga kecil serta penduduk di kawasan pedalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan 100 liter di bawah Budi Madani Diesel,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai rasional pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api termasuk penggunaan MyKad serta sama ada kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, konflik di Asia Barat telah menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia, sekali gus memberi kesan kepada Malaysia.
“Subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta pada Januari dan Februari telah melonjak hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.
“Walaupun terdapat petanda positif ke arah persetujuan perdamaian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, harga minyak dunia dijangka kekal tinggi berbanding sebelum konflik bermula,” katanya.
Menurut beliau, selain tekanan fiskal yang meningkat, aspek lebih penting adalah memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara.
Katanya, walaupun kerajaan bersama Petronas berusaha mempelbagaikan sumber bekalan bagi menjamin kelangsungan bahan api, usaha itu boleh terjejas sekiranya isu ketirisan tidak ditangani secara tegas.
“Hal ini lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana bukan warganegara turut menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15. Jurang harga yang besar dengan negara jiran mewujudkan ruang penyeludupan yang sukar dibendung walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan.
“Sebagai petunjuk jelas, jumlah diesel yang dijual di stesen minyak di Sabah dan Sarawak pada Mac dan April 2026 mencecah 200 juta liter sebulan, iaitu dianggarkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap sepatutnya berdasarkan bilangan kenderaan diesel berdaftar.
“Penetapan harga runcit pada tahap tanpa subsidi di seluruh negara akan membantu menutup ketirisan ini,” katanya. – UTUSAN










