KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Indonesia, Padi Reborn, tidak pernah melihat peluang berkongsi pentas dengan Dewa 19 menerusi Konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia sebagai medan perbandingan atau persaingan.
Malah, mereka menganggap peluang itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa muzik berupaya menyatukan pelbagai lapisan pendengar.
Pemain gitar bass Padi Reborn, Rindra, berkata kumpulan itu sentiasa berpegang kepada falsafah padi yang semakin tunduk apabila semakin berisi, sekali gus menjadi pegangan mereka sepanjang hampir tiga dekad berkarya.
“Kami dengan senang hati menghiburkan Baladewa walaupun mungkin ada antara mereka yang tidak begitu mengenali lagu-lagu kami. Itulah konsep yang dibawa oleh Padi.
“Falsafah ini juga menjadi peringatan kepada kami agar sentiasa merendah diri. Dalam perjalanan seni, ada kalanya seseorang boleh terlupa diri, justeru penting untuk sentiasa berpijak di bumi nyata.
“Mungkin tanpa disedari, Padi sudah 29 tahun bersama. Nama Padi yang dicadangkan oleh Yoyo juga seolah-olah menjadi takdir buat kami untuk terus berpegang kepada nilai tersebut,” katanya.
Rindra berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual media di Unifi Arena, semalam.
Sementara itu, vokalis Padi Reborn, Fadly, menegaskan muzik seharusnya menjadi medium yang menyatukan, bukannya mencetuskan perpecahan dalam kalangan pendengar.
“Kembali kepada falsafah muzik, muzik itu menghiburkan dan menyatukan, bukannya memecah-belahkan. Energi itulah yang kami bawa bersama Dewa 19.
“Malah, tajuk konsert *Cintaku Tertinggal di Malaysia* sangat bertepatan kerana kami datang untuk melepaskan rindu bersama peminat yang merindui lagu-lagu Padi dan Dewa 19.
“Itulah yang menjadikan konsert ini sesuatu yang sukar dilupakan. Kami tidak mempunyai sebab untuk berasa khuatir kerana sentiasa mendapat suntikan semangat daripada peminat. Walau seteruk mana keletihan yang dirasai, semuanya hilang apabila melihat energi mereka.
“Saya sentiasa merasakan perkara itu setiap kali mengadakan konsert. Ketika tidak sihat sekalipun, segala-galanya seakan hilang apabila berhadapan dengan peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Fadly turut mengakui teruja apabila sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan Dewa 19 selepas kali terakhir berbuat demikian pada tahun 2018.
“Konsep ini sangat menarik kerana sudah lama Dewa 19 dan Padi tidak membuat persembahan bersama di Indonesia. Sebelum ini kami pernah berkongsi pentas dan ia menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.
“Justeru, ini merupakan satu idea yang besar apabila kami dipertemukan semula di Malaysia. Saya juga dimaklumkan terdapat peminat dari sebuah pulau di Sulawesi yang sanggup datang ke Malaysia kerana konsert seperti ini jarang diadakan,” katanya.
Menerusi konsert yang berlangsung malam ini, Dewa 19 turut menampilkan tiga vokalis utamanya iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello. — UTUSAN










